Ibuku menangis...

Ibuku menangis dan perasaannya terluka oleh sikap orang di sekelilingnya. Ibuku terluka hatinya oleh kata-kata fitnah orang di sekitarnya yang bukan orang lain tetapi saudara sedarahnya. Ibuku menangis kecewa dan terkilan tetapi kata-kata putus asa tidak pernah diucapkan oleh bibirnya, kata kesal tidak pernah menjadi topik perbualan dan luahan rasanya. Ibuku kuat dan tahan menderita; walau ku jangka dan ku fikir dia tidak mampu melaluinya kerana banyak ketakutannya.. kerana ibuku tidak pernah menunjukkan penglibatan aktifnya dalam komuniti dan pelayanan gereja. Ibuku menyibukkan diri dengan pekerjaan ringannya selain menjaga rumah tangga dan membesarkan kami. Pada hari Ahad, dia akan merayakan ekaristi bersama keluarga dan bersama Yesus; kemudiannya akan terus kembali ke rumah dan sekali lagi memulakan rutin hariannya.

Ibu, jauh dari pelayanan gereja mungkin kerana rendah diri pada tahap pendidikannya yang sifar..tapi pada saat ini aku melihat ibu lebih daripadaku..lebih daripada orang lain yang berstatus tinggi..ibuku lebih daripada sekadar pelayan komuniti atau gereja. Seumur hidupnya, ibuku menjadi pelayan Tuhan yang setia. Dia melayani Tuhan melalui setiap detik penderitaannya. Dia melayani Tuhan dengan iman yang dirasakan hanya sebesar biji sesawi. Dia melayan Tuhan melalui setiap air mata yang mengalir dari matanya pada setiap malam. Air mata yang dirahsiakan daripada suaminya dan anak-anaknya.

Kini, aku mengerti betapa pengorbanan ibu sangat besar bagiku. Sangat sukar dimengerti kerana aku menilainya mengikut kayu ukurku sendiri padahal pekerjaan Tuhan di dalamnya sedang berlaku dan terus berlaku sepanjang perjalanan hidupnya. Tanpa mengerti dia memikul semua beban hidupnya dengan segala daya kesanggupan serta imannya. Aku mengatakan itu adalah bahagian daripada kehidupannya.. tanpa mengerti, sebenarnya ibuku memikul bebannya demi aku dan demi dosa orang lain. Roh Kudus menyedarkan aku, bagaimana bahagian penderitaan hidup seseorang merupakan suatu jalan penyucian dosa; bukan dosanya justeru dosa orang lain, dan Tuhan memilih serta meletakkan beban itu pada bahu orang yang berkenan di hadapanNya. 

Ibuku, tidak aktif dalam pelayanan komuniti namun pelayanan batinnya melebihi dari segala apa yang pernah kuberikan dalam pelayanan komuniti ku.

Ibu, mungkin kau tidak memahaminya namun terang Roh Kudus menganugerahkan aku pengetahuan ini dan aku percaya bukan sekadar sia-sia tetapi untuk tetap mendoakan kekuatanmu agar dapat bertahan sehingga semuanya selesai. Ibu, semoga cinta kasih Allah akan tetap mengurapimu dan memberikan engkau kekuatan memikul setiap beban yang diletakkan di atas salib kehidupanmu. Ya Allahku, aku percaya Engkau tidak pernah meninggalkan orang yang berharap kepadaMu kerana firmanMu menyatakan orang yang telah Kau panggil tidak akan Kau tinggalkan. In Jesus name i pray. AMEN.

Comments

Popular posts from this blog

Sinar Kemuliaan

Sirakh 2:1-18

Mazmur 8:2-9 [Psalm 8:2-9]