Perjalanan bersama Sang Kasih

Detik demi detik Kau berjalan bersamaku. Saatku dilahirkan Engkau menunggu di situ, menyambut kehadiranku dalam kasih yang tidak terucapkan. Bersama misi yang Kau tetapkan untukku. Anak yang baik yang tidak pernah merengek meminta lebih. 

Kau menunjukkan wajahMu yang indah di langit dan aku kebingungan. Dalam usia kanak-kanak aku disuruh memilih berlutut atau tinggalkan saja. Akal kecilku cuma mampu menanda diri dengan tanda kemenanganMu; dalam hati ada rasa, mungkinkah orang lain melihat aku jika aku berlutut? Aku memilih untuk malu dan segan.

Waktu berlalu, aku mengenal kehendak dan mengabdi dalam senyap. Tiada yang mampu menidakkan inginku. Aku bergerak dalam diam hanya amarah bergejolak tiada yang mampu menahan. Aku belajar dengan payah dan dalam tangis kesal.

Diamku hanya aku yang faham dan aku tahu Engkau paling faham. Aku berjalan nyata dalam sembunyi. Tiada siapapun yang perlu kenal siapa aku. Namun apa yang Kau tanam dalam hatiku tidak mampu aku tolak. Terangkah itu? Mengapa hati masih panas dan luka?

Aku cuba mengenal diri. Mendekat yang bukan lawanku. Niat cuba meleburkan kesombongan dan keangkuhan dan penipuan. Ah! Kau biar aku kalah lagi. Ya, bukan seperti yang kurancang tetapi seperti Kau tetapkan. Bukankah aku ini anakMu? Bukankah Engkau, Bapa yang paling mengerti kuatku?! pun begitu, kenapa masih ada dendam dan benci?

Jasadku merosot. Itupun sangat besar kasihMu terhadapku. Engkau mengambil sedikit asaku pada waktu Kau ulit aku dalam tidur. Tidak pernah Kau tinggalkan aku. Semuanya berlangsung dengan lancar dan dengan sedikit kekuatan yang Kau pinjamkan kepadaku, aku menolak Engkau. Oh! rupanya Engkau memang tidak ada, sama seperti sosokmu juga tidak ada! Kau tidak pernah peduli! Kau tidak pernah mengira apa yang kuusahakan! 

Terlukakah Engkau Bapa? Mengapa aku sibuk mengukur usahaku sedang dosaku menggunung dan Engkau masih mencintaiku. Layakkah lagi aku ini disebut anakMu? Berulang kali Engkau menghukumku dengan kasih yang semakin mengoyak rabak jiwaku. Kau bertanya "Apakah yang kau perbuat?" Aku tidak mahu menjawab lagi, sebab apapun yang kukatakan adalah sia-sia semata-mata.

Aku mahu mengingat dan memuliakan kerahimanMu. Aku memang tidak sempurna seperti mana Engkau menciptakan aku. Namun Engkau memujuk lagi KerahimanMu akan menyempurnakan aku. Ah! apakah yang lebih indah dan kudus daripada itu? Kau tidak habis-habis mencintaiku. Tuhan yang bagaimana Engkau ini? 

Bapa, aku mengingat luka batinku oleh kata-kata yang menyenangkan hati mereka. Aku terluka dalam diam dan mereka merasa kata-kata itu seperti dibawa angin lalu. Aku ingat Tuhan dan Engkau tahu. Bertahun akan kuingat dan kusimpan rasa pedih itu. Tapi, demi Engkau aku belajar untuk tetap terima seperti mana Kau terima tiap cambukan.. tiap duri di kepalaMu. Setiap saat aku menahan yang lama dan menerima yang baru dan Engkau rasanya semakin dekat dan menyatu denganku.

Tuhan, datanglah padaku dan nyatakanlah kehendakMu kerana tiap saat jiwa ini menangis mencari dan merinduiMu.

Yesus, Engkau andalanku! 

 

Comments

Popular posts from this blog

Sinar Kemuliaan

Sirakh 2:1-18

Mazmur 8:2-9 [Psalm 8:2-9]