Deritaku adalah deritaMu

 Jangan berharap pada manusia, sebab ia tidak lebih dari pada embusan nafas, dan sebagai apakah ia dapat dianggap? - Yesaya 2:22

 

 Setiap kali Engkau membawa aku melalui jalan ini dan sekali lagi aku terus menangis dan menangis..

Tidakkah Kau kasihani aku yang terluka berulang kali dek sikap orang sekelilingku? Mereka seperti serigala yang menanti aku keletihan lalu membaham tubuhku..

Semuanya bertopeng  kebaikan namun hati penuh daki degil hitam gelap dan suram. Apakah aku mengambil sesuatu daripada mereka? Sakitkah hati mereka bila melihat aku bahagia?

Engkau lihatlah betapa luka cabikan yang mereka buat pada ulu hatiku dengan pandangan dengki mereka.

Engkau rasalah kecewa yang merobek lubuk hatiku dengan senyuman pura-pura mereka. Bagaimana mampu mereka mengukir senyum dengan hati yang sepahit hempedu pekat meloyakan?

Jauhkan aku Tuhan. Daripada semua kejahatan itu jauhkan aku. 

Kuatkan aku Tuhan. Daripada semua kemunafikan itu kuatkan aku... kuatkan aku untuk menahan amarah dagingku dan akalku yang kerap menjerit 

"Fikirmu aku tidak melihat dan mengerti kejahatan kamu?!"

Lebih dari semua ini Tuhan;

Aku membaca kata-kataMu "Aku ingin kau menjadi milikKu sepenuhnya." 

Kau berfirman kepada Yesaya bin Amos "Jangan berharap pada manusia, sebab ia tidak lebih dari pada embusan nafas, dan sebagai apakah ia dapat dianggap?" 

Aku tidak mahu lagi mengandalkan mereka dan percaya pada janji palsu mereka. Senyum penuh duri sambil tangan mengelus bagai gergaji mata dua. 

Tiada satu pun yang dapat dipercayakan .. kata-katanya penuh anggur asam yang memabukkan dan membunuh. Yang diharapkan ialah mencabik kulit dari tubuhmu dan meratah isi dan tulangmu sehingga mereka puas!

Cukuplah marah ini Tuhan...

Kau membuatkan jari-jari lemah ini mengulang cerita lukaMu di Golgotha. 

Sebelum aku merasakan semua ini, Kau lebih dulu melaluinya dan sekarang Kau berikan kesempatan untukku hadir pada saat dukaMu.

Ajar aku Tuhan. Ajar aku untuk mengandalkan cuma Engkau. Sahabatku, Rajaku, Tuhanku, Allahku dan Segalanya bagiku.

Yesus, Engkau andalanku!


Comments

Popular posts from this blog

Sinar Kemuliaan

Sirakh 2:1-18

Mazmur 8:2-9 [Psalm 8:2-9]