SENDIRI

Dalam segala hal, aku ingin bersendirian sambil benar-benar menghayati sepi itu. Kerana dalam sepi itu Engkau tinggal, dalam sepi itu aku merasai kehadiranMu. Tinggalkan kebisingan dan gemuruh hati ini. Pergi semuanya, kerana aku hanya ingin bersama Kekasih Jiwaku, Yesus yang kucintai. Dalam segala perkara yang Kau izinkan berlaku di dalamku, jauhkanlah daripadaku segala pujian dan layanan istimewa kerana itu semua membuat aku sombong dan khianat padaMu. Aku mahu sendiri tenggelam bersamaMu dalam lautan cinta kasihMu yang tak terselami. Biar aku lemas dalam dingin sayup kerinduanMu terhadap jiwaku. Dalam segala perkara besar yang Kau izinkan terjadi dalam hidupku, jauhkanlah aku dari senyum manis dan sapaan mesra dari orang lain kerana itu akan menjatuhkan aku semula dalam lubang kematian yang paling dalam.

Aku hanya mahu sendiri melayani cinta kasihMu terhadapku. Sendiri dalam melayaniMu dengan segala kekurangan dan kemiskinanku ini. Melihat wajahMu yang tiada sepertinya dalam dunia ini, itulah yang kurindukan. Mendengar suaraMu yang berkumandang dari aliran-aliran sungai dan suara burung-burung serta suara angin yang menderu dari gunung. Aku hanya ingin bersamaMu melewati hari-hari sengsara dan sukacita dalam hidupku; kerana Yesus, Engkaulah tujuan hidupku. Sampai selamanya cintaMu tidak pernah habis untukku. Terima kasih Yesus.

*Pada saat hening ini Kau hadir bersama bait-bait suci firmanMu yang hidup dan berkuatkuasa dalam jiwaku.

GOD bless ALL.

Comments

Popular posts from this blog

Sinar Kemuliaan

Sirakh 2:1-18

Mazmur 8:2-9 [Psalm 8:2-9]