Yesus Didera Dengan Rotan / Jesus Condemned To Death


Misteri kedua dalam Peristiwa Duka Doa Rosari membawa kita kepada Yesus yang dihukum dan mengalami penderaan serta penyiksaan ngeri. Jauh dari kemampuan manusiawi dan kita cepat-cepat membuat konklusi Yesus pasti dapat melalui semua itu dengan mudah sebab Dia ialah Anak Allah yang maha berkuasa. Memang benar Yesus ialah Anak Allah yang maha tinggi dan Dia dikandung secara istimewa sebagai manusia oleh Perawan Maria. Namun kelahirannya tiada bezanya dengan manusia lain, kesakitan yang sama dirasakan oleh Bonda Maria semasa melahirkanNya. Seperti yang selalu dikatakan, Dia sama seperti kita cuma saja tidak berdosa.


Setiap manusia menurut kejadian adalah lemah dan sering jatuh dalam dosa. Jika Yesus manusia seperti kita, mengapa Dia tidak jatuh dalam dosa? Banyak sekali persoalan yang akan bermain dalam kedangkalan fikiran kita. Persoalan demi persoalan untuk memuaskan kedagingan kita. Rasa ingin tahu yang wujud sejak Hawa memakan buah terlarang. Kita mewarisi segala dosa dan kejahatan itu dari leluhur kita, jadi mengapa Yesus sebagai manusia tidak terjebak dalam dosa dan kejahatan yang sama?


Yesus melalui semua itu dengan cara yang sangat berbeza dan luar dari kebiasaan manusia seperti kita. Semasa berumur 12 tahun, Dia sudah menyedari fokus dan matlamat hidupNya iaitu Dia harus berada di rumah BapaNya. Hidup yang dilaluiNya tiada beza dengan anak-anak lain, cuma ditambah dengan kesukaanNya mendengar dan mempelajari hal keagamaan daripada alim ulama di dalam Bait Allah. Kehidupan Yesus seterusnya diwarnai dengan doa dan puasa. Selama 40 hari Dia berada di padang gurun sebelum dicobai oleh Setan. Dia ditawarkan dengan kehidupan selesa, kekayaan, dan kemahsyuran. Dia tidak pernah menggadaikan jiwaNya untuk perkara duniawi kerana kekuatan hidup doaNya yang berlandaskan firman Allah.


Justeru, dari mana kekuatan yang diperolehNya untuk menahan setiap cambukan yang menyiat kulit dan isiNya? Dari mana kekuatan yang membolehkan Dia memikul salibNya mendaki bukit Kalvari? Dari manakah kekuatan itu datang sehingga Ia dapat bertahan melihat penderitaan ibuNya yang melihat Dia diseksa? Bagaimana keyakinanNya bisa teguh pada saat Dia sudah mengucapkan 'Ya Abba, Ya Abba, mengapa Engkau meninggalkan Aku?'


Sesungguhnya Tuhanku, aku bersyukur dan memuji Engkau pada saat Engkau menyentuh hatiku saat ini. Aku percaya tiada Allah yang layak disembah melainkan Engkau. FirmanMu Tuhan pelita bagi kakiku, terang bagi jalanku. Engkau menyatakan padaku, tiada lain yang bisa memberi kekuatan dalam kehidupan ini melainkan doa yang menghubungkan aku dengan Bapa, Putera, dan Roh Kudus. Tiada pedang yang lebih berkuasa menjadi perisaiku melawan dosa melainkan firmanMu yang hidup. Tuhanku, dunia inilah padang gurun kehidupanku dan tiap saat aku lalai, aku akan jatuh dalam dosa. Setan tidak akan pernah berhenti mencobai aku tetapi firmanMu akan selalu menjadi penyelamat jiwaku. Engkau berjanji tidak akan meninggalkan aku sampai pada akhir zaman dan aku percaya Yesus, Engkau selalu setia pada janjiMu.


Engkau sudah membuktikannya kepada kami bahawa sebagai manusia tiada penderitaan yang tidak pernah Kau rasakan kerana Engkau lebih dahulu melaluinya. Engkau menunjukkan kepada kami melalui firmanMu "Berdoalah dan berjaga-jagalah jangan sampai kamu jatuh dalam dosa. Roh memang penurut tetapi daging lemah." Aku bersyukur kepadaMu Tuhan, kerana dalam bebanan dan ikatan dosa ini, tanganMu tidak pernah beralih daripadaku. Aku sedar bahawa setiap perkara baik yang aku perbuat tidak mungkin berlaku tanpa rahmat besar daripadaMu.


"Semua telah diserahkan kepadaKu oleh BapaKu dan tidak seorangpun mengenal Anak selain Bapa, dan tidak seorangpun mengenal Bapa selain Anak dan orang yang kepadanya Anak itu berkenan menyatakannya."
[Matius 11:27]

Comments

Popular posts from this blog

Sinar Kemuliaan

Sirakh 2:1-18

Mazmur 8:2-9 [Psalm 8:2-9]